Sunday, February 8, 2009

Makan Bersama

Pada kebiasaannya, orang mengaitkan makanan dengan perhubungan kekeluargaan seperti contoh majlis kenduri. Semasa kenduri sanak-saudara yang jarang dan tidak pernah berjumpa akan bertemu dan berlakunya perhubungan silaturahim yang semakin erat. Dalam kajian yang dibuat oleh Debra Lupton (1994), mendapati kenangan yang dialami oleh kanak-kanak berkaitan makan bersama keluarga menggambarkan perhubungan dan pergaulan sosial dan bukan tertumpu pada makanan semata-mata. Dengan itu amatlah penting bagi sesebuah keluarga itu cuba untuk mewujudkan ruang waktu makan bersama. Makan bersama adalah cara yang paling efektif bagi ibu bapa untuk terlibat dalam kehidupan anak remaja.

Dalam kebanyakan tradisi, makanan dan makan bersama juga dikaitkan dengan kenangan dan perasaan kasih sayang. Anak-anak akan memuji kesedapan masakan ibu mereka. Sekali sekala akan diluangkan masa untuk berkunjung ke rumah ibu bapa atau keluarga atas alasan rindukan masakan mereka. Makanan menjadi penambat atau pengukuh dalam jalinan hubungan kekeluargaan dan mampu meningkatkan taraf kesihatan.

Kajian ada menunjukkan bahawa apabila keluarga makan bersama, ibu atau saudara akan menyediakan makanan yang dimasak sendiri. Justeru, penyediaan makanan segera menjadi pilihan kedua. Makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan ulam-ulaman akan disediakan dengan lebih. Ini menunjukkan peningkatan dalam penyediaan makanan yang sihat di kalangan keluarga dan menjadi ikutan pada anak-anak.

Minat dan aktiviti di kalangan ahli keluarga mungkin berbeza. Begitu juga dengan pekerjaan, dan program percutian, tetapi waktu makan adalah satu situasi yang dapat memberikan ruang fokus yang boleh dikongsi bersama. Ini memberikan peluang bagi ahli keluarga untuk berinteraksi dan menyuarakan pendapat atau bantahan secara rasional. Bukan sahaja menikmati keseronokan menjamu selera tetapi juga sambil berkongsi pengalaman-pengalaman yang dilalui. Ia dikatakan berupaya mengeratkan perhubungan kekeluargaan yang berterusan untuk jangka panjang.

Dalam waktu yang sama, ia bukan sahaja mampu meningkat dan memantapkan pergaulan di kalangan orang dewasa tetapi juga di kalangan kanak-kanak daripada peringkat awal. Pergaulan semasa makan bersama boleh membantu memperluaskan perbendaharaan kata terutama bagi kanak-kanak yang baharu petah berkata-kata. Ia juga dapat menyalurkan maklumat dan pengetahuan individu serta membentuk peribadi seseorang.

Segala bentuk kelakuan positif mahupun negatif berlaku semasa makan bersama. Kaedah tegur menegur dapat dilakukan bagi mempelajari mana yang baik dan memperbaiki mana yang tidak elok. Bukan semuanya baik tentang makan bersama ini tetapi apabila ahli keluarga dapat bekerjasama, memberi pendapat dan dapat menilai secara positif, maka persiapan dan makan bersama boleh dilihat sebagai penyumbang untuk meningkatkan rasa yakin dan selamat di kalangan keluarga.

Mencari Alternatif
Ramai yang menyedari kebaikan makan bersama dan ia bukanlah sesuatu yang baharu tetapi banyak faktor yang menyebabkan ia tidak mudah dilaksanakan. Masalah terbesar yang menghalang kebanyakannya adalah disebabkan ibu bapa yang rata-ratanya bekerja. Beban kerja yang ditanggung dengan tempoh masa bekerja yang panjang di pejabat tidak mengizinkan beberapa tanggungjawab dilakukan dengan baik dan berkesan.
Masa yang diperuntukkan untuk masak sendiri dan makan bersama mungkin dapat dilakukan jika mengikut jadual harian yang tertentu. Namun, kadang-kadang ia begitu payah untuk diselaraskan kerana terdapat perbezaan waktu bekerja, perbezaan masa persekolahan anak-anak, dan terutamanya kesuntukan masa.

Kalau dahulu, kita disediakan dengan waktu makan yang tetap oleh ibu yang tidak bekerja. Biasanya selain waktu makan ini, kita tidak lagi mencari makanan tambahan di antara waktu makan. Mungkin kemudahan untuk mendapatkan makanan segera juga tidak begitu mudah seperti sekarang, menjadikan kita akur pada makanan yang disediakan di rumah.

Tetapi sekarang, dalam kepenatan menghadapi keadaan getir masalah kesuntukan masa, ibu bapa akan beralih kepada cara terbaik bagi mengisi kehendak dan permintaan anak-anak dengan cara yang mudah. Apa yang termampu adalah penyediaan makanan segera seperti apa yang kita praktikkan masa kini. Apabila terdapat makanan segera dan makanan ringan yang disediakan di rumah bagi kemudahan semua pihak, ia juga menunjukkan banyaknya bekalan makanan yang mengandungi garam, gula dan lemak diberikan kepada anak-anak. Ini menunjukkan bekalan makanan yang menyihatkan dalam rumah adalah kurang.

Menurut satu kajian yang dibuat ke atas 4,746 remaja di Minnesota, didapati 51% keluarga remaja ini mengambil makanan segera sebanyak satu atau dua kali dalam satu minggu. Seramai 7% pula menyatakan mereka mengambil makanan segera untuk makan malam 3 hingga 4 kali dalam satu minggu. Kesimpulan dalam kajian tersebut menunjukkan, kekerapan pengambilan makanan segera dalam kumpulan ini mengakibatkan kurangnya memakan makanan kurang berserat seperti buah-buahan, sayur-sayuran yang memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Didapati ibu bapa yang kerap mengambil makanan segera lazimnya menghadapi masalah berat badan berlebihan berbanding mereka yang kurang memakannya. Keadaan ini akan turut dialami oleh anak-anak mereka yang juga akan disajikan dengan makanan yang sama. Malahan anak-anak ini akan terdedah kepada makanan yang menjejaskan kesihatan lebih awal.


Masalah sosial
Walaupun makan bersama mungkin menjadi keutamaan pada sesetengah keluarga berbanding dengan yang lain namun tahap kekerapan makan bersama telah menurun. Gejala-gejala sosial seperti kegagalan dalam sekolah hingga kerosakan akhlak yang timbul dikatakan berpunca daripada kurang makan bersama dalam keluarga. Remaja yang dibiar makan di luar akan berjumpa dan lama-kelamaan gemar mencari kawan untuk bersama dan berbual kosong. Mereka bukan sahaja memenuhi masa untuk berbual tetapi juga akan terlibat dengan permainan-permainan video, snuker, merokok atau mabuk.

Punca mereka senang terjerumus ke kancah maksiat ialah kerana mereka akan lebih berminat untuk mencuba atau mahu menunjuk-nunjuk apabila berada bersama kawan-kawan. Remaja memang suka meniru dan mengikut gaya supaya diterima dalam kumpulan.

Masalah-masalah ini akan menjadi lebih buruk apabila mendapat tentangan daripada ibu bapa. Mereka yang tidak tahan dengan tekanan akan mengambil tindakan untuk lari dari rumah atau tinggal bersama kawan-kawan yang sealiran dengan mereka.

Manfaatkan Waktu Makan Bersama
Masih ada dan ramai juga yang mengamalkan tradisi menyedia dan makan bersama. Ia dilihat sebagai satu sumbangan ke arah pembangunan keluarga di mana ibu bapa dan anak-anak sama-sama membentuk perasaan kekeluargaan yang dipamerkan melalui makanan. Oleh itu, sudah tentu ramai yang berusaha untuk mendapat manfaat tersebut.

Tidak dapat dinafikan ada ibu-ibu yang berusaha untuk menyediakan makanan harian sendiri. Ini adalah satu usaha yang perlu diberi sokongan oleh keluarga terutama selepas aktiviti waktu sekolah bagi anak-anak dan masa bekerja yang panjang bagi ibu bapa, waktu makan bersama dilihat sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat.

Ibu bapa merupakan orang yang bertanggungjawab bagi menentukan apa anak mereka makan dan berapa banyak yang mereka perlu makan. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang makan bersama di rumah kebanyakannya tidak mengalami berat badan yang lebih berbanding dengan mereka yang tidak.

Kebaikan Makan Bersama

· Semua ahli keluarga makan makanan yang lebih sihat.
· Kanak-kanak tidak mempunyai masalah berat badan atau obes.
· Kanak-kanak akan kurang merokok.
· Kanak-kanak akan kurang minum minuman ringan atau yang memabukkan.
· Mereka akan kurang terlibat dengan dadah.
· Pencapaian gred meningkat.
· Perbualan ibu dan anak akan lebih kerap.
· Perbincangan mengenai masalah akan dilakukan.
· Kanak-kanak akan merasa diberi perhatian dan dihargai.
· Stres dan ketegangan menjadi kurang di kalangan keluarga.