Apa yang kita lalui semasa kecil dan semasa remaja sudah berbeza dengan apa yang dilalui kanak-kanak zaman ini. Apa yang diajar di sekolah dahulu juga jauh berbeza dengan cara yang diajar sekarang. Bukan sahaja pembelajaran di sekolah, bahkan pendidikan di rumah juga telah berubah. Zaman dahulu, ibu bapa menjadi guru yang terdekat untuk anak-anak sebelum ke sekolah tetapi kini dari awal lagi anak-anak telah diserah kepada orang lain untuk dididik.
Ada yang prihatin tentang keadaan ini dan cuba meluangkan masa untuk memenuhi kehendak anak-anak sehingga kadang-kadang menjadi keterlaluan dan merosakkan. Ada juga yang tenggelam dalam kealpaan kemudahan dan kesenangan. Walaupun bukan semua tetapi kebanyakan akan terbiar membesar dalam arus kehidupan yang terserah kepada keadaan. Mana yang bernasib baik akan terus timbul dibawa arus kehidupan dan mana yang kurang bernasib baik akan menerima padahnya.
Pada zaman batu, tubuh badan yang kuat menjadi aset yang utama. Kekuatan tubuh yang diperolehi adalah melalui cara makan dan cara hidup yang dilalui. Manusia zaman itu menggunakan tenaga yang kuat untuk mendapatkan bekalan makanan. Mereka tidak tinggal di satu tempat tetapi berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat. Mereka perlu memburu bagi mendapatkan makanan. Bukan setakat itu sahaja, mereka perlu bersaing menggunakan kekuatan kerana siapa yang kuat dan cepat dia akan menang.
Apabila manusia semakin bertamadun, mereka tinggal di satu-satu tempat dalam kumpulan dan mula bercucuk-tanam bagi mendapatkan hasil makanan. Selain daripada bercucuk-tanam, mereka juga telah mula menternak binatang untuk dijadikan makanan. Ketika itu, makanan yang diambil masih dari bahan mentah atau yang disediakan sendiri. Tenaga kerja yang kuat masih diperlukan.
Dari satu zaman ke satu zaman, penghidupan manusia berubah mengikut keadaan. Pengetahuan teknologi yang tinggi telah menjadikan manusia berupaya untuk mencipta pelbagai peralatan dan bahan yang canggih. Bukan sahaja peralatan dan bahan tetapi makanan juga telah melalui proses yang canggih. Walaupun perubahan bahan makanan telah melalui proses yang tinggi tetapi kita lupa tubuh badan yang kita punyai masih berasal dari model yang lama. Cara ia menerima dan mencerna makanan adalah masih cara lama dan masih lagi memerlukan bahan-bahan yang semula jadi dan asli seperti mula-mula dicipta dahulu. Tidak ada perubahan yang dilakukan pada jentera yang terdapat dalam tubuh badan kita.
Jika dahulu kita telah mendapat makanan mengikut waktu yang tetap seperti makan pagi, makan tengahari dan makan malam. Biasanya makanan ini telah cukup dan kita tidak perlu untuk membeli makanan tambahan dan jika memerlukan tambahan biasanya makanan lain seperti bubur, pisang goreng atau buah-buahan pasti terdapat di dapur untuk menampung kelaparan tersebut.
Sekarang, tanpa memikirkan tentang kemampuan badan, banyak perubahan radikal terhadap makanan telah dilakukan. Jika anda lapar, apa yang anda perlukan hanya keluar ke kedai atau pasar raya untuk mendapatkan makanan segera atau dipesan saja dari rumah. Kadang-kadang kita tidak tahu sama ada bahan makanan yang kita pesan itu baik atau tidak untuk dimakan.
Dalam dunia yang pesat beredar ini, manusia hanya hidup berlumba-lumba dan tidak ada masa diperuntukkan untuk memikirkan kepentingan bersama. Semuanya mementingkan diri sendiri dan mengimpikan keuntungan walaupun memudaratkan kehidupan seperti apa yang dilakukan oleh industri makanan masa kini.
Lalu makanan yang kita sajikan untuk santapan harian masa kini terdiri daripada bahan-bahan yang mampu merosakkan tubuh badan. Manusia kini berisiko untuk menanggung berbagai masalah sejak mula dilahirkan kerana terdedah kepada makanan-makanan yang membahayakan kesihatan.
Cara Makan Dahulu dan Sekarang
Gaya hidup kita berubah dengan begitu pantas lalu apa yang kita makan juga sudah berbeza daripada apa yang dimakan oleh nenek moyang kita. Setakat ini, kita masih bernasib baik kerana dapat merasa dan melihat perbezaan yang berlaku dan dapat membuat perbandingan untuk memilih mana yang lebih baik.
Jika dahulu, kebanyakan ibu tidak bekerja dan dapat menyediakan sendiri makanan yang baik dan bersih untuk seisi keluarga. Sayur-sayuran segar yang dibeli datangnya daripada kebun yang menggunakan baja tahi ayam atau tahi lembu yang tidak disuntik dengan bahan antibiotik. Jarang sekali untuk membeli barangan yang diproses dari kedai kerana kebanyakan makanan disediakan sendiri. Masa akan datang mungkin apa yang lama sudah tidak ada lagi untuk dijadikan contoh. Selain dari kesibukan harian, golongan generasi baru pula cenderung mengagung-agungkan apa yang baru sahaja. Walau bagaimanapun bukan semuanya berpendapat begini tetapi kebanyakannya telah mempraktikkan begini dan lama-kelamaan yang lama akan berkubur ditelan zaman. Apatah lagi apabila makanan jenis lama memang rumit dan mengambil masa yang lama untuk disediakan.
Sebagai contoh, laksa pun perlu dibuat sendiri daripada tepung beras kerana tidak ada dijual di kedai. Kalau ada pun makanan yang diproses hanyalah buatan sendiri seperti ikan masin, telur masin dan jeruk buah-buahan umpamanya. Tidak ada bahan penambah lain yang dimasukkan kecuali gula dan garam. Juga tidak terdapat mi segera dengan pelbagai perencah untuk dibeli.
Membeli gula-gula pun dikira jarang kerana memang tidak ada wang untuk berbelanja terutama di kalangan kanak-kanak. Ini menjadikan kita tidak pandai untuk memilih makanan kegemaran sendiri kecuali yang disediakan oleh ibu di rumah.
Namun yang jelas sekarang ini, apabila anda membeli-belah di pasar raya, anda dapat melihat pelbagai jenis produk makanan yang mengandungi sama ada daripada khasiat semula jadi, diperkaya atau makanan alternatif. Kebanyakan makanan yang dijual mengalami perubahan yang begitu ketara dari segi tekstur, warna dan rasa di mana pengeluar membuat pelaburan yang tinggi untuk mengukuhkan nilai produk makanan mereka. Industri makanan telah melancarkan trend baru bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat dengan menambah bahan makanan asli dengan pengawet atau penambah supaya tahan lama bagi kemudahan pemasaran secara besar-besaran.
Bahan makanan ini diproses hingga boleh didapati sepanjang tahun walaupun bukan musimnya. Makanan dari luar negara menjadi semacam makanan tempatan kerana mudah didapati di pasar raya. Bahan tambahan bagi menjadikan makanan itu sedap, tahan lama dan cantik seperti baru atau segar adalah perkara biasa dalam kehidupan hari ini hingga kita tidak tahu apa yang kita makan. Apa yang kita mahu adalah makanan yang sedap, menarik dan berselera dipandang.
Apa jadi pada diet bertamadun yang kita sajikan kepada keluarga dan anak-anak kita? Kita makan lebih bahan bergula daripada telur, sayur-sayuran dan buah-buahan. Anak-anak kita minum lebih minuman bergas daripada susu atau air . Dalam tahun 70-an, kita mula makan lebih makanan yang diproses berbanding makanan asli.
Perbezaan dalam gaya makan dahulu dan sekarang telah mencetuskan pelbagai masalah kesihatan. Malangnya semua anak terpaksa makan apa yang diberikan oleh ibu bapa mereka. Yang lebih teruk adalah kerana pendedahan yang dibuat pada mereka adalah lebih awal. Sebaik sahaja dilahirkan, ibu-ibu yang bekerja lebih selesa untuk memberi susu formula kepada anak-anak mereka. Diet semasa kecil ini mempengaruhi kesihatan kanak-kanak apabila mereka dewasa kelak.
Ramai yang menyangka kita sekarang hidup dalam zaman makanan mewah dan sihat. Namun apa yang kebanyakan kita tidak tahu adalah mengenai statistik kesihatan yang menunjukkan sebaliknya. Kita tidak perlu jadi pakar mengenai pemakanan untuk mengetahui masalah kesihatan yang kian meningkat di kalangan kanak-kanak. Sekiranya tidak ada tindakan untuk memperbaiki, kita menyerahkan masa depan anak cucu kita atau secara khususnya generasi masa depan kepada masalah penyakit kronik yang teruk berbanding dengan apa yang kita hadapi hari ini.
Mungkin kita merasakan apa yang kita makan sekarang tidak akan membuahkan masalah kerana kebanyakan petunjuknya tidak segera. Oleh kerana itu kita tidak mengambil kira dengan teliti apa yang kita makan setiap hari. Kita berfikir sedikit gula sekali sekala dan sedikit perasa dan pewarna sekali sekala tidak apa dan tidak membawa padah. Tetapi realitinya, kebanyakan makanan proses yang kita makan dan berikan kepada anak-anak mengandungi pelbagai penambah selain daripada gula, lemak trans atau garam.
Kanak-kanak dan Gaya Hidup Masa Kini
Makanan yang segar dan baik untuk kesihatan adalah lebih mahal berbanding dengan makanan remeh yang murah dan mudah didapati. Bagi mereka yang kurang kemampuan akan mudah beralih kepada makanan murah dan mudah didapati yang menjadikan masalah kesihatan makin meruncing. Semakin kita peka tentang kegemukan semakin ia menjadi-jadi. Semakin dicuba dileraikan semakin besar masalah kesihatan yang disebabkan oleh cara makan dan gaya hidup timbul. Kadang-kadang bukan sahaja ibu bapa yang perlu disalahkan. Faktor persekitaran yang dipenuhi dengan pelbagai makanan remeh dan segera yang menarik juga memainkan peranan.
Pelbagai cara telah disyorkan oleh badan-badan tertentu bagi menangani masalah ini dengan memperkenalkan makanan rendah lemak atau menggalakkan amalan diet. Tapi tahukah anda kanak-kanak yang mempraktikkan diet ini didapati membesar menjadi remaja yang lebih bermasalah dalam berat badan?
Cara hidup kita yang mempengaruhi peningkatan dalam berat badan kanak-kanak. Faktor yang boleh menyebabkan peningkatan berat badan di kalangan kanak-kanak adalah pengambilan makanan segera yang kerap serta menjalani hidup yang kurang aktif. Kehidupan harian kanak-kanak hari ini kebanyakannya dihabiskan untuk menonton televisyen atau bermain komputer. Untuk menghadiri aktiviti tambahan sekolah juga mereka akan dihantar oleh ibu bapa dengan kenderaan kerana dirasakan lebih selamat. Masa bermain juga terhad kerana mereka yang mampu pula selain dari menghantar anak-anak ke kelas tambahan lebih berminat untuk menghantar anak-anak ke kelas muzik atau kelas tarian.
Mengikut kajian, hanya 24% kanak-kanak terbabit dalam kegiatan fizikal seperti berbasikal, bermain badminton dan berlari. Kanak-kanak yang mempunyai lebih berat badan bukan sahaja berisiko tinggi menghidap diabetes tetapi juga masalah kesihatan secara keseluruhan.
Masalah lain yang mungkin menyumbang bagi kanak-kanak yang tinggal di bandar adalah kerana kekurangan tempat untuk bermain dengan selamat. Pembangunan yang semakin pesat kadang-kadang tidak memberi ruang yang selesa untuk kanak-kanak bermain. Aktiviti selepas sekolah pula ada yang membebankan mereka yang berpendapatan rendah kerana untuk menyertai sukan-sukan tertentu mereka terpaksa membayar yuran atau terpaksa dihantar oleh ibu bapa kerana jauh dari tempat kediaman.
Ibu bapa yang bekerja kurang berada di rumah, memberi peluang untuk kanak-kanak memilih cara makan dan aktiviti sendiri. Makan bersama juga menjadi kurang kerana kita telah menjadi orang yang makan secara mudah dan ringkas dengan memilih makanan segera, menjadikan kita pengambil makanan yang tidak seimbang secara kebiasaan.
Dilema Membesar Anak-Anak
Kepesatan dan kemajuan teknologi dalam sesebuah negara tidak akan bererti jika kita gagal untuk menangani masalah kesihatan rakyat terutama kanak-kanak yang akan menjadi pelapis masa depan. Ini adalah kerana kesihatan memainkan peranan yang penting dalam kemajuan negara dan mempunyai impak dalam menyempurnakan kehidupan manusia secara menyeluruh.
Peningkatan berat badan secara normal bagi seseorang kanak-kanak menunjukkan pertumbuhan dan perkembangan yang baik. Pemeriksaan berat badan mengikut jadual dilakukan dari peringkat masih bayi bagi menentukan kanak-kanak mencapai berat badan yang memuaskan. Jika didapati bayi atau kanak-kanak tidak mencapai berat badan yang sepatutnya dalam jangka masa dua bulan ia mungkin memerlukan lebih makanan atau perlu menukar makanan lain daripada yang biasa dimakan, jika dibiarkan mereka akan jatuh sakit.
Kebanyakan makanan yang kita berikan pada kanak-kanak hari ini perlu diberikan perhatian khusus dengan mengkaji apakah kandungan sebenar isi kandungan makanan tersebut. Tindakan perlu diambil untuk mengawal industri bagi mengeluarkan makanan yang baik dari segi kesihatan. Kebanyakan makanan hari ini telah melalui pelrbagai proses bagi memenuhi kehendak utama untuk tahan lama dan selebihnya untuk rasa sedap, kelihatan segar serta menarik.
Makanan yang secara tradisinya baik seperti roti dan marjerin jika dimakan berlebihan akan mendatangkan mudarat. Marjerin adalah satu bahan yang kaya dengan vitamin B. Tetapi dalam kaedah pemprosesan telah menjadikan bahan itu lemak terhidrogen yang tidak sepatutnya dimakan mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana kehadirannya adalah lebih buruk daripada lemak tepu.
Peningkatan dalam penyakit-penyakit kronik yang mengancam nyawa kanak-kanak dan remaja seperti diabetes dan sakit jantung ekoran daripada peningkatan berat badan yang disebabkan oleh makanan dan bahan-bahan yang dimasukkan ke dalamnya menjadi kebimbangan. Senario daripada kejadian penyakit yang meningkat ini memberi petunjuk bahawa ibu bapa, guru dan kerajaan supaya memberi fokus yang lebih kepada makanan kanak-kanak hari ini.
Tidak boleh dinafikan memang terdapat krisis dalam kesihatan berpunca daripada makanan. Menurut kajian yang dibuat, 92% kanak-kanak mengambil makanan yang mempunyai lebih lemak tepu daripada apa yang disarankan. Terdapat 86% daripada mereka makan terlalu banyak gula. Seramai 72% dianggarkan makan terlalu banyak garam dan sebaliknya 96% tidak mendapat cukup makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Kanak-kanak yang minum minuman air bersoda telah menjadi 2 kali ganda dalam masa 30 tahun. Setiap tambahan minuman berkarbonat akan meningkatkan obesiti sebanyak 60%. Dianggarkan sebilangan 7 daripada 10 orang kanak-kanak tidak minum susu pada tahap seperti yang disyorkan dan lebih 80% kanak-kanak perempuan berumur di antara 9 hingga 19 tahun tidak mendapat bekalan kalsium yang secukupnya.
Oleh kerana semua ibu bapa mahu melihat anak-anak membesar dengan baik dan kebanyakannya mampu menyediakan makanan yang lebih daripada mencukupi, ini menjadikan kanak-kanak hari ini menjadi obes. Apabila obes, mereka cenderung untuk terus makan berlebihan. Mungkin kita terlalu manjakan anak-anak sehingga gagal mengawal pemakanan mereka. Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang menyebabkan anak-anak menjadi obes. Meskipun masalah tersebut adalah biasa di kalangan kanak-kanak, dan banyak usaha boleh dilakukan bagi menanganinya kerana dianggap masih awal, tetapi bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang obes, ia adalah satu masalah yang sukar dirawat.
Satu tindakan perlu diambil bagi menangani masalah makanan dan kanak-kanak. Ia tidak boleh lagi dipandang remeh apabila terdapat peningkatan dalam kes obesiti yang menyebabkan diabetes 2 di kalangan kanak-kanak yang meningkat.
Gesaan perlu dibuat supaya penyediaan makanan kanak-kanak perlu diberi perhatian yang serius. Bukan sahaja pengambilan makanan berlemak seperti lemak trans, lemak tepu, makanan bergula dan garam perlu dikurangkan pengambilannya tetapi setiap makanan proses perlu diteliti kandungannya. Bahkan persediaan makanan sendiri juga perlu menitikberatkan makanan yang asli. Makanan jenis karbohidrat yang berserat lebih diutamakan tetapi masih perlu dikurangkan.
Jika keadaan ini tidak diperbaiki, ia boleh meletakkan kesihatan kanak-kanak dalam keadaan seperti bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa. Ia perlu ditangani demi masa depan kanak-kanak tersebut. Krisis yang melanda ini adalah krisis yang menghala kepada masalah kesihatan sejagat.
Friday, January 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment