Jika Sayangkan Mereka, Lakukan Perubahan!
Antara faktor yang membentuk kehidupan kanak-kanak, pemakanan memainkan peranan yang penting. Apa pun makanan yang dimakan oleh seseorang kanak-kanak, ia membantu dalam pertumbuhan tubuh badan dan perkembangan otak sekali gus membentuk cara memproses maklumat, mempengaruhi cara berfikir, belajar dan bertindak. Banyak kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengambil makanan yang kaya dengan vitamin B misalnya menunjukkan prestasi yang tinggi berbanding dengan mereka yang kurang mengambil vitamin tersebut. Secara tidak langsung, makanan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia.
Setiap makanan yang dimakan sepatutnya adalah untuk membentuk tubuh yang sihat dari segi mental dan fizikal. Menyediakan makanan yang baik dan berkualiti untuk anak-anak bukan sahaja bererti memberi nikmat kesedapan makanan tersebut tetapi perlulah mampu digunakan oleh badan bagi menjadikannya badan kuat, sihat dan berfungsi dengan sempurna sepanjang hidupnya.
Oleh itu pengambilan makanan yang baik dan berkualiti perlu dibentuk dari mula kehidupan anak-anak yang membesar. Namun, membentuk tabiat makan anak-anak amat memenatkan dan menyulitkan terutama sekali akibat ibu bekerja yang kesuntukan masa. Walaupun terdapat ibu bapa yang peka tentang masalah pemakanan dan kesihatan, lama-kelamaan mereka akan mula tunduk dengan mudah pada tabiat makan masa kini apabila rata-rata terdapat dengan mudah makanan proses yang mudah dibeli dan disediakan.
Gaya kehidupan masa kini telah menjadikan anak-anak lebih cepat dewasa. Banyak keputusan dalam beberapa hal tertentu dibiarkan kepada anak-anak untuk membuatnya. Daripada pakaian hinggalah ke pemilihan makanan. Kebanyakan ibu bapa berasa lega apabila anak-anak mampu membuat keputusan dan pilihan sendiri walaupun masih kecil. Oleh kerana terdedah dengan persekitaran luaran, mereka ini bijak memesan barangan makanan yang tidak kita jangkakan. Ibu bapa pula merasa bangga dengan keadaan tersebut. Walaupun pada hakikatnya, anak-anak ini masih tidak arif untuk membuat pilihan yang terbaik untuk diri sendiri, namun kita tidak pernah mempersoalkan keadaan tersebut.
Dalam proses pembesaran, sebenarnya kanak-kanak memerlukan bimbingan dan tunjuk-ajar daripada ibu bapa untuk membuat pilihan yang betul dan tepat sehingga pada peringkat yang tertentu. Dalam pemerhatian harian, barulah kita dapat menilai sama ada mereka ini boleh berdikari dengan cara yang betul sehingga keadaan mengizinkan, barulah diberikan kebebasan tetapi juga bukan sepenuhnya. Namun dalam keadaan sekarang, kita tidak sabar untuk memberikan mereka masa yang secukupnya untuk membesar dengan sempurna kerana dewasa ini terlalu banyak pengetahuan yang perlu kita berikan sebelum mereka meningkat dewasa. Umpamanya kanak-kanak yang baharu memasuki tadika telah diajar seperti kanak-kanak yang bersekolah biasa.
Makanan Dan Kanak-Kanak
Sungguhpun cara hidup, persekitaran dan tabiat memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak, namun faktor yang perlu diberi keutamaan adalah pemakanan. Seorang pakar nutrisi yang mengkaji tentang makanan bertoksik, Peter Dingle memberi satu kenyataan yang mengatakan secara sedar atau tanpa disedari kanak-kanak sekarang dibunuh secara perlahan dengan makanan yang diberikan. Kenyataan ini dikuatkan dengan krisis kesihatan yang menunjukkan peningkatan penyakit orang dewasa yang kian meningkat di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Hampir 10%, atau 2.6 juta penduduk negara kita menghidap diabetes 2. Peningkatan bilangan kanak-kanak yang terlibat berjumlah seramai 1,305 orang dalam tahun 2004 berbanding 837 orang dalam tahun 1999. Penyakit ini dikaitkan dengan pengambilan gula yang tinggi dan obesiti. Melalui statistik ini kita perlu sedar bahawa angka ini akan meningkat dan lebih ramai lagi akan terlibat melalui tabiat makan yang kita amalkan.
Bayi dan kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada penyakit kerana badan mereka lemah dan tidak mampu melawan sebarang komplikasi. Makanan yang baik dan mempunyai nilai kualiti nutrisi yang tinggi diperlukan untuk pertumbuhan dan perlindungan. Makanan juga memberi tenaga untuk menjalankan pelbagai aktiviti dalaman dan luaran.
Walaupun kebanyakan masalah kesihatan yang berkait dengan makanan mungkin timbul ketika pertengahan umur, namun pada hakikatnya ia telah bermula lebih awal. Tanpa kita sedari apabila bayi atau kanak-kanak didedahkan kepada makanan proses sejak mula dilahirkan, ini bererti kita telah dedahkan mereka ini kepada masalah kesihatan bermula sebelum kanak-kanak memasuki tadika lagi. Pendedahan kepada makanan remeh akan meningkat lagi apabila kanak-kanak ini mula bersekolah. Keadaan persekitaran persekolahan akan mencetuskan pengalaman baru yang mudah ditiru dan dijadikan cara hidup.
Pendekatan dan Pengawasan Yang Berterusan
Makanan yang kita suapkan kepada kanak-kanak pada hari pertama dilahirkan dan hari-hari seterusnya menentukan pertumbuhan dan pembesaran untuk berlaku dengan sihat. Tabiat makan yang baik bermula dari rumah. Masa yang terbaik untuk mendidik cara makan yang menjamin kesihatan yang optimum adalah dari satu hingga lima tahun. Ini adalah masa di mana mereka belum terdedah kepada persekitaran luar. Ibu bapa dan penjaga adalah orang terdekat yang boleh melakukannya.
Sedikit masa untuk menyedia dan melayan kerenah anak-anak semasa makan adalah satu kewajipan yang harus ditekankan. Walaupun mempunyai pembantu, ibu-ibu mesti memberi keutamaan meluangkan masa untuk bersama anak-anak ketika makan. Jangan serahkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya kepada pembantu rumah. Perhatikan jenis makanan sebelum disuapkan ke dalam mulut anak anda. Bayi dan kanak-kanak sangat memerlukan masa untuk menerima dan menghadam makanan yang diberikan. Memperkenalkan makanan-makanan yang baik dan pelbagai perlu dibuat dari peringkat ini. Pemerhatian yang rapi sepanjang masa bukan sahaja setakat menyediakan makanan tetapi mengetahui makanan yang sesuai atau disukai mereka perlu dipraktikkan.
Kebanyakan ibu bapa selalu bangga jika anaknya mengikut jejaknya dengan menggemari dan memakan makanan kegemarannya. Sebenarnya anak-anak perlu didedahkan kepada pelbagai makanan dan dibentuk untuk mempunyai identiti sendiri. Jangan hanya memberi makanan yang kita gemari. Dapatkan maklumat tentang kebaikan pelbagai makanan walaupun anda tidak menggemarinya dan sajikan kepadanya dari awal. Memperkenalkan makanan pula bukan hanya dibuat satu atau dua kali tetapi perlu dilakukan berulangkali dan menukar gaya penyediaan makanan tersebut bagi kesesuaian rasa. Berikan mereka peluang untuk membuat pilihan sendiri. Dedahkan mereka kepada pelbagai jenis makanan yang mengandungi pelbagai khasiat yang diperlukan. Pembentukan pemakanan yang baik daripada pelbagai jenis makanan yang asli menjadi asas kepada kesihatan yang terjamin.
Apabila mereka semakin besar, kanak-kanak memang mudah tertarik dengan iklan makanan yang menarik yang dipaparkan melalui televisyen. Mereka pasti akan memesan makanan yang mereka gemari itu malah pasti gembira jika dibawa ke restoran tersebut yang menyediakan hadiah dan tempat permainan. Suasana begini telah menjadi senario dalam kehidupan kita hari ini dan menyukarkan kita untuk mengenepikannya. Namun, tidak terdedah kepada keadaan yang tersebut sama sekali adalah mustahil.
Persediaan makanan sekarang dan dahulu sangat jauh berbeza. Oleh kerana itu, mengelak daripada makanan proses sama sekali sungguh merumitkan. Mantapkan gaya makan secara sihat dahulu baru perkenalkan makanan moden. Sekali sekala memperkenalkan makanan sebegini dan menghadkan cara pengambilan pada anak-anak tidak memudaratkan. Jangan biarkan anak-anak langsung terasing daripada makanan tersebut. Mereka pasti akan menjadi janggal dan keliru apabila bergaul dengan kawan-kawan atau setelah memasuki sekolah nanti. Jadikan mereka bijak memilih di antara yang baik dan menjejaskan kesihatan kerana masa depan mereka masih jauh untuk diterokai. Kita tidak mampu untuk memberi tunjukajar serta mengawasi mereka buat selama-lamanya.
Walau bagaimanapun, berikan mereka peluang untuk mengenali, mencuba dan memilih setelah kita bekalkan mereka dengan pengetahuan yang kukuh. Dapatkan nasihat daripada orang yang tahu mengenai pemakanan dan praktikkan dalam keluarga. Jangan jadikan masalah pemakanan sebagai masalah individu. Tindakan bersepadu daripada semua ahli keluarga lebih membuahkan kejayaan.
Bukan sahaja ibu bapa, keluarga atau penjaga tetapi guru juga boleh bertindak meneruskan langkah membentuk cara makan yang baik. Mereka boleh meningkatkan kesedaran tentang kebaikan makanan berkualiti yang berterusan. Kebanyakan pelajar lebih mudah mempercayai guru daripada orang lain dan kadang-kadang lebih daripada ibu bapa mereka sendiri.
Kurangkan Makanan Segera
Dalam kehidupan yang serba pantas ini, makanan segera telah menjadi pilihan cara makan yang paling sesuai. Iklan mengenai jualan makanan tersebut telah menjalar ke merata-rata tempat melalui pelbagai cara seperti televisyen, radio, akhbar dan poster serta risalah. Selain daripada penjualan di kantin sekolah, ianya telah memasuki kawasan kejiranan dan telah menyerap masuk budaya dan sosial. Sasaran rangkaian restoran makanan segera bertindak menyerang setiap peringkat umur lebih-lebih lagi kanak-kanak dan semakin rancak dalam pasaran kerana diterima baik oleh pengguna yang tenggelam dalam arus kemodenan khasnya dan lemas dalam kesibukan amnya. Penjualan makanan segera ini menjadi popular kerana menawarkan makanan dengan cepat, murah, menyenangkan dan sedap dimakan.
Apa yang membimbangkan walaupun disediakan dengan mudah, cepat dan murah ia memerlukan teknik penyediaan makanan yang tinggi apabila diproses. Teknik pemprosesan ini mampu mengubah bentuk asal makanan dan menyebabkan ia kehilangan sebahagian nilai nutrisi. Oleh kerana itu, makanan-makanan ini mengandungi tinggi lemak, garam serta rendah fiber dan kalsium. Bahannya perlu diawet supaya dapat disimpan lama dan direka bentuk mempunyai rasa dan kekentalan tertentu yang mampu mengekalkan kesegaran.
Promosi-promosi kreatif yang menyediakan makanan `super-value` atau `super-size` menjadikan ia semakin popular. Makanan yang kehilangan sebahagian rasa dan warna ini akan ditambah dengan perasa tiruan dan pewarna bagi mencantikkannya untuk mengikat hati pembeli.
Satu hidangan makanan di restoran makanan segera menyumbang kepada kadar pengambilan lemak dan garam yang tinggi kepada individu. Sebagai contoh `Spicy Chicken McDeluxe` mengandungi 643 (kcal), 27.1 g lemak, 71.1 g karbohidrat dan 2,800 mg garam. Kandungan lemak yang tinggi dan sais yang besar disertai dengan kurang aktiviti fizikal memainkan peranan penting dalam peningkatan obesiti.
Kanak-kanak yang kenyang dengan makanan yang tinggi lemak secara tidak langsung kurang berminat untuk makan makanan-makanan yang berfiber seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kecuali makanan ini diberikan sebelum memberikan makanan lain.
Makanan segera mempunyai lebih implikasi sosial berbanding makanan biasa apabila ia mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat terutama remaja. Seringkali makanan begini dijadikan hadiah untuk meraikan sesuatu kejayaan.
Menghadkan Pengambilan Garam (Natrium Klorida)
Kandungan garam dalam makanan segera adalah penyebab kepada beberapa masalah kesihatan. Pengambilan garam yang tinggi dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, strok dan masalah buah pinggang. Tambahan lagi ada kajian yang menunjukkan ada persaingan di antara kalsium dan natrium apabila berada dalam badan. Dalam lain kata, sekiranya pengambilan natrium dalam badan meningkat, lebih banyak kalsium akan dikeluarkan melalui air kencing. Keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan kalsium daripada tulang dan meningkatkan risiko osteoporosis terutamanya di kalangan wanita.
Kanak-kanak dan remaja hari ini juga seringkali dikaitkan dengan risiko masalah tekanan darah tinggi disebabkan mereka terdedah kepada pelbagai makanan proses yang mengandungi tambahan garam. Kebanyakan bayi hari ini terdedah lebih awal kepada makanan snek yang mengandungi garam. Walaupun kadang-kadang didapati sedikit sahaja yang dimasukkan tetapi apabila dikumpulkan semua yang dimakan dalam sehari, kemungkinan ianya akan melebihi daripada had yang dibenarkan.
Tahap maksima pengambilan garam yang disyorkan bagi orang dewasa adalah 2,400 mg. Secara purata kita mungkin mengambil lebih apabila kita mengambil makanan seperti burger dan mi segera. Ini menunjukkan kita memerlukan pengetahuan dan pendedahan terhadap kandungan garam yang terdapat dalam makanan yang kita makan. Jangan lupa membaca label untuk mengetahui apa yang terdapat dalam makanan tersebut selain daripada garam. Jika boleh cari makanan alternatif yang tidak diproses jika disedari pengambilan garam pada hari tersebut agak tinggi. Cara ini dapat membantu mengurangkan pengambilan garam bagi meningkatkan kesihatan secara keseluruhan dan mencegah penyakit.
Kanak-kanak diantara umur 4-6 tahun, tidak boleh diberi melebihi 3 gram sehari. Bayi dan kanak-kanak tidak boleh diberi garam yang berlebihan kerana buah pinggang mereka masih belum mampu untuk menerima lebih.
Kanak-kanak mendapat bekalan garam yang mencukupi melalui penyusuan ibu. Namun banyak makanan yang kita tahu hari ini yang disasarkan kepada mereka mengandungi tinggi garam. Oleh kerana itu, disarankan ibu bapa yang peka tentang pengambilan garam tinggi di kalangan kanak-kanak supaya memberi perhatian penuh terhadap anak-anak supaya tidak termakan banyak bahan tersebut. Elakkan daripada memberi makanan yang tidak dikhaskan untuk bayi dan kanak-kanak seperti kentang lenyek di restauran makanan segera. Jika anda mulakan memberi garam daripada kecil, mereka akan gemar pada makanan yang masin dan akan terus menikmati makanan yang mengandungi garam dengan banyak dan terus menjadi gaya hidup.
Pastikan tambahan garam tidak dimasukkan pada makanan yang disediakan sendiri untuk bayi dan kanak-kanak. Bekalan garam ini mudah saja didapati daripada ikan bilis, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Kesan keburukan hasil daripada pengambilan garam yang tinggi boleh terjadi semasa kanak-kanak masih kecil. Kanak-kanak yang makan garam banyak akan mengalami tekanan darah tinggi berbanding dengan mereka yang tidak. Jika tindakan untuk mengurangkan garam tidak dilakukan, lama-kelamaan ia akan menyebabkan strok dan serangan jantung.
Pengambilan garam yang disyorkan untuk bayi dan kanak-kanak adalah seperti yang disenaraikan di bawah. Walau bagaimanapun anda tidak seharusnya memberhentikan gambilan sama sekali pengambilannya tetapi sekurang-kurangnya menghadkannya..
Umur
Sasaran purata pengambilan (g/hari)
0-6 bulan
< 1g garam sehari
7-12 bulan
1g garam sehari
1-3 tahun
2g garam sehari
4-6 tahun
3g garam sehari
7-10 tahun
5g garam sehari
11-14 tahun
6g garam sehari
Menukar Tabiat Makan Makanan Manis
Ada seorang ibu bertanya kenapa minuman bergas itu dikatakan mengandungi gula yang tinggi tetapi tidak terasa manis?
Keadaan ini mungkin disebabkan oleh keadaan berikut:
· Deria rasa yang telah biasa dengan makanan yang manis apatah lagi apabila pendedahan kepada bahan ini telah bermula daripada awal
· Campuran perisa telah mengabui dan mengubah rasa manis tersebut supaya tidak terasa manis sangat.
Bayi yang tidak didedahkan kepada makanan manis dengan sendirinya tidak gemar memakannya. Tabiat memakan makanan kurang manis perlu dibentuk daripada awal. Gula adalah satu bahan perasa yang tidak perlu ditambah dalam makanan kecuali dalam keadaan tertentu. Kopi mungkin contoh minuman yang memerlukan sedikit gula kerana ia terlalu pahit jika diminum begitu sahaja. Sesetengah masakan seperti sayur manis tidak perlu ditambah gula kerana sayuran yang dimasukkan sudah cukup manis. Kebanyakan makanan yang kita ambil seperti nasi, ubi keledek dan ubi kentang mengandungi karbohidrat yang boleh ditukarkan kepada bentuk gula. Pisang dan betek setelah masak akan menjadi manis kerana mengandungi gula yang asli.
Memakan makanan yang manis adalah satu tabiat, sekiranya kita telah biasa dengan memakan yang sebegini dan ingin menukar cara makan, cuba lakukan secara perlahan dengan mengurangkan sedikit demi sedikit mengikut keselesaan anda dan keluarga sehingga mencapai tahap yang diperlukan.
Kegemaran kanak-kanak dan remaja masa kini kepada makanan yang manis menyumbang kepada masalah kesihatan yang makin meningkat. Selain daripada mengambil makanan segera, kanak-kanak gemar minum minuman ringan dan berkarbonat yang berlebihan jestru menyumbang kepada masalah berlebihan berat badan dan obesiti.
Minuman sebegini sebenarnya tidak mengandungi zat, tetapi mengandungi kalori yang banyak. Banyak bukti saintifik menunjukkan ia ada kaitan langsung dengan pertambahan berat badan. Justeru, mereka yang mempunyai sejarah keluarga bermasalah kegemukan, perlu memandang berat tentang pengambilan minuman ringan dan berkarbonat yang terdapat di pasaran.
Tinjauan yang dilakukan oleh National Health & Morbility Survey pada tahun 2006 telah menunjukkan peningkatan dalam kegemukan kepada 28.6% dan obesiti kepada 14.0%.
Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 % daripada keperluan kalori seseorang. Sebagai contohnya, jika keperluan kalori seseorang itu adalah 2000 kalori, jumlah gula yang boleh diambil adalah kurang daripada 200 kalori, iaitu kira-kira 10 sudu teh gula. Jumlah ini termasuk bukan sahaja gula pasir tetapi bahn karbohidrat yang ditukarkan kepada gula, makanan yang mengandungi gula asli dan juga yang mengandungi gula yang tersembunyi.
Jika kita biarkan anak kita minum satu tin minuman berkarbonat bersama satu hidangan makan tengah hari seperti burger, mereka sudah mencapai sukatan gula yang melebihi daripada yang disarankan untuk satu hari. Pengambilan ini belum dikira waktu makan pagi, malam dan snek tambahan. Sangat mudah untuk kanak-kanak makan gula secara berlebihan memandangkan kebanyakan makanan yang disajikan adalah daripada makanan yang diproses. Namun kita perlu seimbangkan pengambilan makanan yang diambil memandangkan mereka sedang membesar dan memerlukan tenaga untuk bergerak aktif.
Ada yang berpendapat tidak mengapa untuk minum satu tin minuman berkarbonat, asalkan ia diiringi beberapa gelas air kosong. Mereka percaya air kosong akan mencairkan kepekatan minuman berkarbonat. Sebenarnya tidak kira berapa banyak air yang diminum, namun kandungan gulanya tetap sama.
Mengubah sesuatu tabiat itu amat sukar tetapi anda harus melakukannya dan cuba untuk mengekalkannya. Perubahan tidak akan berlaku dalam jangka masa yang singkat namun perubahan yang dilakukan perlu dikekalkan.
Menyediakan Makanan Bayi Sendiri
Permulaan yang baik kearah pendidikan gaya makan sihat.
Memperkenalkan makanan pejal adalah langkah yang mustahak dalam pembesaran bayi. Ramai ibu bapa yang tidak menyedari bahawa menyediakan makanan di rumah adalah cara mudah dan berekonomi untuk memberi bayi anda makanan yang baik dan segar dari segi kualiti dan rasa. Dalam tiga tahun pertama kehidupan bayi adalah masa pembesaran yang pesat dan memerlukan makanan yang berkhasiat. Adalah perlu untuk memberi diet yang sempurna bagi menjamin pertumbuhan maksimum.
Kebanyakan ibu-ibu sekarang mengambil jalan mudah untuk penyediaan makanan bayi mereka apatah lagi makanan bayi dan kanak-kanak sekarang boleh di dapati dengan mudah di kedai-kedai. Makanan-makanan bayi yang diproses kebanyakannya adalah bahan yang dicampur air, gula dan kanji. Walaupun bahan ini tidak memudaratkan tetapi ia menjejaskan kepekatan nutrien makanan yang disediakan untuk bayi. Tambahan lagi makanan bayi yang diproses akan dimasak dengan suhu yang tinggi bagi menghapuskan bakteria untuk disimpan dalam jangka waktu yang lama dalam pasaran. Dalam proses ini bukan sahaja bakteria yang terhapus tetapi juga vitamin dan nutrien yang terkandung juga akan terjejas. Pembekal makanan bayi dan kanak-kanak akan memasukkan bahan perasa dan penambah bagi menggantikan bahan yang hilang melalui proses.
Jika kita sedar tentang kekacatan yang dilakukan pada makanan yang kita berikan kepada anak-anak sudah pasti kita akan mencari alternative yang terbaik untuk anak kesayangan kita. Umpamanya apabila menyediakan sendiri kita boleh memendekkan masa untuk masak. Cara ini bukan sahaja mengekalkan warna yang cantik dan rasa yang sedap tetapi mengekalkan bahan nutrien dalam makanan untuk bayi kesayangan anda.
Monday, January 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

Very useful informations for Peoples were really care in their own health.
ReplyDelete